top of page

Amira Amir: Bila Cinta Bertembung Rahsia Identiti

  • Writer: N
    N
  • Feb 26
  • 2 min read

Amira Amir bukan sekadar filem cinta biasa. Drama sosial terbaru ini terus bermain dengan isu besar, rahsia identiti, maruah dan sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi cinta. Bermula 26 Februari 2026, penonton boleh strim eksklusif di Astro First, terus dari pawagam rumah sendiri. Kalau anda suka filem yang buat kita termenung lepas habis tengok, yang ini memang kena dalam senarai.

Filem terbitan Astro Shaw ini diarahkan oleh Reen Emran dan menampilkan barisan pelakon yang bukan calang-calang. Antaranya Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min dan Kartina Aziz.


Gabungan nama-nama ini saja pun dah cukup buat kita rasa, “Okay, this is serious.”

Kisahnya berkisar tentang Ziyad yang berkahwin dengan Amira atas dasar cinta pandang pertama. Nampak macam kisah bahagia tipikal. Tapi rumah tangga yang dibina atas kepercayaan mula retak bila satu kebenaran besar tentang identiti Amira terbongkar.

Dan bila rahsia itu muncul, bukan sekadar hubungan mereka yang terjejas prinsip hidup, persepsi tentang cinta dan penerimaan masyarakat semuanya dipersoalkan.


Menariknya, Amira Amir tak memilih jalan mudah untuk jadi melodrama kosong. Ia cuba mengajak penonton melihat realiti menyembunyikan kebenaran yang melanggar norma dan hukum. Soalannya, sejauh mana masyarakat kita benar-benar bersedia menerima individu yang dianggap “berbeza”?

Lebih istimewa, filem ini ditayangkan menjelang Ramadan. Mungkin bukan kebetulan. Dalam bulan yang sinonim dengan muhasabah diri, kisah seperti ini boleh jadi pencetus perbincangan sama ada dengan pasangan, keluarga atau kawan-kawan waktu moreh nanti.

Dari segi pengalaman menonton pula, ia ditawarkan secara eksklusif di Astro First dengan harga RM15 untuk tontonan 48 jam melalui Astro dan platform sooka. Maksudnya, satu harga boleh tonton ramai-ramai. Siap boleh pause kalau nak debat dulu babak tadi.


Sebagai pelengkap emosi, lagu tema “Hati Yang Tak Terbalas” dendangan Marsha Milan dijangka menambah lagi ‘rasa’ dalam setiap babak penting.

Akhir kata, Amira Amir bukan filem untuk ditonton sambil lalu. Ia jenis cerita yang buat kita fikir tentang jujur, tentang identiti, tentang cinta yang tak semestinya hitam putih.

Kalau anda jenis suka drama sosial yang ada isi dan berani sentuh isu sensitif, mungkin ini filem yang patut masuk watchlist hujung minggu nanti.

Comments


bottom of page