Aisha Retno Tampil Berani Dengan “Tak Adil”
- Nurul Safiah
- 7 hours ago
- 1 min read

Penyanyi bersuara unik, Aisha Retno kembali dengan warna muzik berbeza menerusi single terbaharunya berjudul “Tak Adil”, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun 2025.
Diterbitkan di bawah Aisha Retno Entertainment dan Faithful Music, “Tak Adil” merupakan ciptaan sepenuhnya Aisha sendiri bersama adiknya, Radi, yang turut bertindak sebagai penggubah bersama.
“Ini adalah era untuk saya bereksperimen. Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya, lebih-lebih lagi kerana ia lahir daripada emosi sebenar yang saya alami sendiri,” ujar Aisha.
Menurut Aisha, “Tak Adil” bukan sekadar single biasa, sebaliknya merupakan pembuka jalan kepada album baharunya yang sedang dalam perancangan.

Menceritakan tentang penghasilan lagu tersebut, Aisha berkongsi bahawa “Tak Adil” lahir daripada pengalaman peribadi, termasuk kekecewaan dalam hubungan cinta dan cabaran dalam industri hiburan.
“Saya baru melalui fasa patah hati yang agak teruk, jadi saya satukan semua rasa amarah dan kesedihan dalam lagu ini. Memang tak adil jika satu pihak saja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” katanya.
Walaupun baru dilancarkan, “Tak Adil” telah menerima sambutan awal yang cukup positif, malah ramai peminat telah menggunakan potongan audio lagu ini di media sosial.
Walaupun tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah, Aisha mengakui ada impian untuk membawa lagu ini ke peringkat lebih besar.
“Buat masa ini, saya hanya harap lagu ini diterima dan menyentuh hati ramai orang. Kalau ada rezeki, saya serahkan pada Tuhan,” ujarnya merendah diri.
Single “Tak Adil” kini boleh didengar di semua platform digital, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Aisha Retno.
Comments