AIM25 Kembali Dengan Dua Kategori Baharu, Kali Pertama Diadakan Di Sarawak
- N

- 8 hours ago
- 3 min read
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal membuka lembaran baharu buat industri muzik tempatan apabila bukan sahaja memperkenalkan dua kategori baharu, malah buat pertama kalinya berlangsung di Kuching, Sarawak. Edisi Jubli Perak ini dijadualkan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), sekali gus menjadi antara edisi paling istimewa dalam sejarah penganjuran AIM.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1993, AIM terus menjadi platform utama yang mengiktiraf karya dan bakat terbaik dalam industri muzik Malaysia. Memasuki edisi ke-25, anugerah ini dilihat terus berevolusi mengikut perubahan landskap muzik tempatan yang kini semakin pelbagai dari segi genre, bahasa dan budaya.
Antara pengumuman paling mencuri perhatian ialah pengenalan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik. Kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi mengiktiraf karya yang mengetengahkan budaya, bahasa serta identiti unik Sabah dan Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik pula memberi penghormatan kepada lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada sambutan pelbagai perayaan di Malaysia.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperluaskan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya negara, selain memberi ruang kepada lebih ramai pengkarya untuk diketengahkan di pentas anugerah paling berprestij dalam industri muzik tempatan.
Selain kategori baharu, AIM25 turut hadir dengan ganjaran yang lebih besar. Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan oleh MyCreative Ventures telah meningkatkan jumlah dana kepada RM950,000, berbanding RM700,000 pada AIM24.

Menerusi peruntukan tersebut, pemenang bagi 15 kategori terpilih akan menerima geran DKK bernilai RM50,000 setiap satu, manakala pemenang Album Terbaik Tahun Ini pula akan membawa pulang geran berjumlah RM200,000. Inisiatif ini bertujuan membantu penggiat muzik menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan berdaya saing di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Dalam masa sama, AIM25 turut menerima sokongan RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP). Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan industri kreatif Malaysia, malah memperlihatkan usaha mempromosikan Sarawak sebagai destinasi utama bagi acara seni, budaya dan hiburan berskala besar.
Pemilihan Kuching sebagai tuan rumah juga menjadi detik bersejarah kerana ini merupakan kali pertama AIM diadakan di Bumi Kenyalang sepanjang 25 tahun penganjurannya.

Bagi penggiat industri muzik yang ingin menyertai AIM25, pencalonan dibuka bermula 16 Julai hingga 6 Ogos 2026. Penyertaan terbuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan di Malaysia sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Sebanyak 33 kategori dipertandingkan pada AIM25 meliputi kategori utama seperti Lagu Terbaik Tahun Ini, Album Terbaik Tahun Ini, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik serta kategori-kategori pra-anugerah dan Anugerah Sri Wirama.
Seperti edisi sebelum ini, proses penilaian akan dilakukan oleh panel juri yang terdiri daripada pengamal industri muzik dan pakar dalam pelbagai bidang, diketuai oleh Ajai selaku Ketua Hakim. Keputusan akhir akan diaudit oleh juruaudit bebas bagi memastikan ketelusan pemilihan pemenang.
Dalam perkembangan sama, TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25.

Sebagai sebahagian daripada kempen menuju malam anugerah, TVS turut akan menyiarkan program khas Hits 122 Edisi AIM25 sebanyak 13 episod bermula 18 Julai 2026, setiap hari Sabtu jam 8.30 malam. Sementara itu, CATS FM pula diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi bagi memeriahkan lagi sambutan AIM25 di seluruh negara.
Dengan kategori yang semakin inklusif, ganjaran yang lebih besar serta lokasi penganjuran yang mencipta sejarah, AIM25 dilihat bersedia membuka satu lagi bab penting dalam perjalanan industri muzik Malaysia. Kini, tumpuan pastinya terarah kepada senarai calon akhir yang dijangka diumumkan pada September nanti serta siapakah yang bakal mengungguli malam penuh berprestij itu.



Comments