top of page

Afgan Kembali Ke Malaysia Dengan Showcase Penuh Emosi Di Zepp KL!

  • Writer: N
    N
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, bakal kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi persembahan istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

ree

Showcase ini bertepatan dengan pelancaran album terbaharunya yang turut diberi judul Retrospektif, sebuah naskhah yang cukup peribadi buat Afgan, kerana ia mencerminkan perjalanan hidup dan karier seninya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Makna retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya bahan pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik,” kata Afgan.
ree

Bagi penyanyi berusia 36 tahun ini, album Retrospektif menjadi titik balik dalam perjalanan seninya kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertamanya selepas tujuh tahun.

“Album ini ibarat saya kembali ke genre yang membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini, jadi judul Retrospektif terasa sangat tepat,” jelas Afgan.


Menariknya, Malaysia dipilih sebagai lokasi utama persembahan kerana menurut Afgan, Kuala Lumpur sudah dianggap sebagai “rumah keduanya”.

“Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya ingin mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini,” ujarnya.
ree

Afgan turut menjelaskan bahawa pemilihan Zepp Kuala Lumpur dibuat kerana suasananya yang lebih kasual dan intim, sesuai dengan konsep muzik yang lebih organik dan ‘raw’ dalam album baharu ini.


Dalam showcase berdurasi lebih sejam itu, Afgan bakal mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal, selain rangkaian lagu hits terdahulu yang pernah menjadi siulan peminat.

“Saya mahu setiap lagu memberi makna dan memori tersendiri kepada peminat di Malaysia. Perjalanan muzik saya telah menjadi sebahagian daripada kisah hidup mereka — itu penghargaan terbesar buat saya,” katanya lagi.


Showcase ini dianjurkan oleh Renjana Idea, yang menyifatkan persembahan tersebut sebagai refleksi perjalanan seni Afgan yang cukup dekat di hati peminatnya.

“Afgan Retrospektif Showcase bukan sekadar persembahan, tetapi juga sebuah refleksi penuh emosi dan makna,” kata wakil penganjur.
ree

Tiket telah mula dijual sejak 1 Oktober 2025 di laman web rasmi GoLive Asia dengan harga berikut:

  • RM1,398 (VIP Box)

  • RM798 (Premium Seat)

  • RM698 (Normal Seat)

  • RM398 (VIP Standing)

  • RM358 (General Standing)


Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti media sosial rasmi Renjana Idea atau laman rasmi penganjur bagi kemas kini terkini.

Comments


bottom of page