Adam Lee Dedah Sisi Gelap Cinta Seorang Anak Dalam "Bintang Di Langit Syawal"
- Atiqah Halim

- 20 hours ago
- 2 min read

Tidak semua pencarian kasih berakhir dengan pelukan bahagia. Ada yang menemukan kebenaran yang terlalu pedih untuk diterima. Begitulah perjalanan watak Syawal, lakonan Adam Lee, dalam drama terbaharu slot Samarinda TV3, berjudul “Bintang Di Langit Syawal”, yang bakal keluar di layar kaca mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam.
Drama 15 episod terbitan Sha’s Media ini mengangkat kisah penuh emosi tentang seorang anak yatim yang membesar tanpa kasih bapa, dan bagaimana pencariannya untuk mengenal ayah kandung membawa kepada penemuan yang amat menggegarkan jiwanya.
Syawal, seorang remaja yang membesar di rumah kebajikan, sentiasa dihantui rasa kekosongan dan rindu terhadap sosok ayah yang tidak pernah dikenalinya. Segalanya berubah apabila seorang lelaki misteri bernama Latif (Azhar Sulaiman) datang melawat rumah kebajikan tersebut dan meninggalkan sejumlah wang yang menimbulkan tanda tanya.
Apabila Syawal mengetahui hal itu, dia mula percaya bahawa Latif ialah ayah kandungnya. Didorong oleh rasa ingin tahu, dia nekad melarikan diri untuk mencari kebenaran. Dalam perjalanannya, dia bertemu Jess (Scha Elinnea), gadis yang secara tidak langsung menjadi penyokong dalam pencarian itu.
Namun, perjalanan tersebut membawa Syawal ke tempat gelap yang langsung tidak disangkanya, iaitu sebuah sarang pelacuran, tempat di mana rahsia sebenar Latif mula terbongkar. Persoalan mula timbul, siapakah sebenarnya Latif, dan mengapa kehidupannya berselirat dengan dunia yang penuh dosa dan kesakitan?
Diarahkan oleh Bahri Umar dan ditulis oleh Tommy Loh, “Bintang Di Langit Syawal” bukan sekadar kisah pencarian identiti, tetapi juga refleksi tentang kasih sayang, pengampunan, dan erti menjadi manusia. Turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef, dan Shalma Eliana, drama ini dijangka menjadi antara naskhah emosional paling menyentuh tahun ini.
Mengulas tentang wataknya, Adam Lee mengakui bahawa peranan Syawal menuntut kekuatan emosi dan pemahaman mendalam.
“Syawal ni watak yang menyimpan begitu banyak perasaan, terutamanya sebagai seorang anak yatim. Bila saya baca skrip ini tentang seorang remaja yang mencari ayahnya tetapi menemui kebenaran yang pahit, saya terus rasa watak ini mesti saya hidupkan sepenuh jiwa,” ujar Adam.
Tambahnya lagi, kisah ini mengingatkan bahawa walaupun hidup dipenuhi kegelapan, setiap langit masih menyimpan bintangnya tersendiri.
“Bintang Di Langit Syawal” bakal bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. Penonton turut boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk kemas kini terkini mengenai drama dan rancangan TV3, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di platform Facebook, Instagram, X (Twitter) dan YouTube.









Comments