‘Abu Si Raksasa’ Cipta Kelainan Baharu Dalam Filem Tempatan!
- Ain Najihah
- 16 hours ago
- 2 min read

Industri perfileman tempatan bakal mencipta sejarah menerusi filem Abu Si Raksasa, karya sains fiksyen pertama tempatan yang mengetengahkan konsep Kaiju iaitu raksasa gergasi ala Godzilla.
Filem ini diterbitkan oleh M Toons Sdn.Bhd dan menjanjikan kelainan daripada genre biasa sepertti seram, aksi serta komedi yang lazimnya mendominasi layar perak Malaysia.
Menurut penerbit filem ini, Zamin Fakry, idea untuk menerbitkan Abu Si Raksasa tercetus hasil perbincangan bersama Profesor Dr Hezri Adnan, seorang pakar dalam bidang alam sekitar.
“Ia memberi ilham kepada kami untuk menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang berkaitan dengan isu alam sekitar menerusi filem ini,” ujarnya.
Abu Si Raksasa mengisahkan Zaara (lakonan Sophia Al Barakbah) yang kehilangan cicak salamander kesayangannya, Abu, ke dalam empangan tercemar.
Pendedahan kepada bahan kimia berjenama ROXCCID menyebabkan mutasi pada Abu sehingga menjadi sebesar raksasa. Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan (Jaa Suzuran) dan Zidan (Zalif Sidek) kemudian berganding bahu untuk menyelamatkan Abu daripada diburu pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad (Afieq Shazwan).


Apa yang menjadikan filem ini unik ialah penggunaan kira-kira 40% elemen CGI dan VFX bagi merealisasikan watak raksasa tersebut.


Walaupun bajet filem ini sekitar RM2 juta dianggap terhad, pihak produksi tetap berjaya menghasilkan visual berkualiti tinggi, dibantu oleh sokongan dana daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS.
Pengarah filem merangkap penulis skrip, Ramdhan Che Hassan menjelaskan bahawa cicak salamander dipilih kerana sifat uniknya sebagai haiwan dua alam yang tidak ganas dan berpotensi membesar dalam keadaan tertentu.
“Ia haiwan yang boleh dibela, tetapi dalam konteks filem ini, kita angkatnya menjadi simbol kesan pencemaran alam,” ujar beliau.
Penggambaran filem ini telah dijalankan sekitar Lembah Klang termasuk Tasik Tadom, Kajang Banting dan Sungai Buaya pada September 2023.
Ramdhan turut berkongsi bahawa ia memerlukan kajian mendalam dan kekuatan imaginasi tinggi bagi memastikan hasil akhir dapat dinikmati penonton dengan realistik.
Selain watak utama, filem ini turut dibintangi oleh Azhar Sulaiman, Maria Farida, Adam Shahz, Samarinna Tolhip, Farid Amirul Hisham, Azri Iskandar dan Along Eyzendy.
Tidak ketinggalan juga, penampilan istimewa daripada Dato Rizal Mansor, Ayahanda Rani Kulop, Mustaqim Bahadon dan Kamarool Hj Yusof turut menyemarakkan lagi naskhah ini.
Abu Si Raksasa dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 11 September 2025.
Comments