“Abah Saya, Uncle Mike”: Kisah Benar Lelaki Cina Besarkan 3 Anak Melayu Jadi Filem Paling Menyentuh Hati 2025
- kaypohmedia
- 13 hours ago
- 2 min read
Filem terbaharu terbitan Astro Shaw dengan kerjasama 7UP dan Mirinda, berjudul “Abah Saya, Uncle Mike”, bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025. Kisah yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar ini pasti menyentuh hati penonton dengan mesej kasih sayang, penerimaan dan perpaduan yang melangkaui sempadan bangsa serta agama.

“Abah Saya, Uncle Mike” mengangkat kisah Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak yatim berbangsa Melayu. Cerita ini menekankan bahawa keluarga tidak semestinya terikat melalui darah, sebaliknya terbentuk daripada kepercayaan, penerimaan, dan kasih sayang tanpa syarat.
Kisah bermula dengan tiga beradik – Rafei, Rasyid dan Rahman yang kehilangan ibu bapa dan berdepan penderaan di rumah anak yatim. Rafei, anak sulung, cuba melarikan diri bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan lebih baik. Namun takdir menemukan mereka dengan Uncle Mike, sekali gus mengubah perjalanan hidup mereka.

Filem ini dibarisi pelakon hebat seperti Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Pauline Tan dan ramai lagi. Lakonan Andy Teh yang sebelum ini sinonim dengan watak aksi tampil berbeza dengan sisi penuh emosi, manakala gandingannya bersama pelakon muda memberikan impak besar terhadap penceritaan.
Menariknya, filem ini merupakan karya cereka pertama arahan Ezrie Gazali yang sebelum ini terkenal dengan drama bersiri popular Kiblat ke Syurga. Skrip pula ditulis oleh gabungan penulis berbakat termasuk Muzzamer Rahman, Nik Naemah, Kyle Goonting dan lain-lain, menjadikan naskhah ini lebih segar dan realistik.

Menurut Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kisah Uncle Mike adalah simbol sebenar nilai perpaduan rakyat Malaysia. Tambahan pula, kerjasama strategik bersama 7UP dan Mirinda menambahkan dimensi menarik dengan kempen kreatif termasuk kit edisi terhad “Menangis itu OK, 7UP kan ada!” serta peraduan digital interaktif #UncleMikeEdits dan #LuahanHati.
Menguatkan lagi emosi filem, penyanyi Mark Adam menyumbangkan lagu tema berjudul “Lelah”, yang dijangka menjadi siulan ramai selepas tayangan.
“Abah Saya, Uncle Mike” bukan sekadar sebuah filem drama, tetapi sebuah kisah inspirasi tentang kasih sayang dan keluarga yang melangkaui sempadan bangsa, budaya dan agama. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025.
Comments