88rising Umum Girl Group Indonesia Pertama, 'no na' yang akan Debut Jumaat Ini!
- Ain Najihah
- Apr 30
- 1 min read

Dunia hiburan Asia bakal menyaksikan satu lagi fenomena baharu apabila syarikat hiburan ternama, 88rising, akan melancarkan kumpulan girl group Indonesia pertama mereka yang dinamakan ‘no na' pada hari Jumaat ini.
Perkara ini diumumkan melalui akaun rasmi Indonesian Pop Base dan pengumuman tersebut mencuri perhatian ramai. Dalam hantaran yang meraih lebih 9.5 juta tontonan itu, kumpulan ini diperkenalkan melalui gambar konsep yang menampilkan empat ahli dalam gaya penuh artistik iaitu satu gambar mereka dalam air dikelilingi bunga-bungaan dan satu lagi menampakkan mereka berpegangan tangan sambil berdiri di laut dengan busana lembut berona pastel.
Kumpulan ‘no na' dijangka membawa nafas baharu kepada industri muzik serantau, memandangkan reputasi 88rising sebagai pelopor bakat Asia yang berjaya menembusi pasaran global. Label ini terkenal dengan kejayaan artis seperti Rich Brian, NIKI, dan Jackson Wang. Kini, mereka mengorak langkah dengan membentuk kumpulan wanita pertama dari Indonesia di bawah naungan mereka.
Pemilihan nama ‘no na' yang ringkas namun penuh misteri turut mencetus perbualan dalam kalangan peminat. Ramai yang tidak sabar menanti gaya muzik dan identiti kumpulan ini serta bagaimana mereka akan membawa budaya dan suara Indonesia ke pentas antarabangsa.
Dengan pelancaran rasmi hanya beberapa hari lagi, dunia sedang menantikan apakah yang bakal ditawarkan oleh ‘no na' iaitu satu nama baharu yang berpotensi mengubah landskap muzik Asia.
Comments