3 Drama TV3 Uji Emosi Sepanjang Ramadan
- Tasnim Ahmad
- 5 hours ago
- 2 min read
Drama TV3 Ramadan kali ini memang lain macam. Kalau selalu kita tengok kisah kekeluargaan yang lembut-lembut je waktu bulan puasa, tahun ini TV3 pilih untuk “uji iman” penonton dengan tiga naskhah berat penuh emosi.

Bermula 25 Februari, tiga slot utama TV3 tampil dengan cerita yang bukan sekadar drama biasa. Setiap satu ada konflik yang boleh buat kita termenung lepas habis episod. Siap sedia tisu, ya.

Slot Samarinda buka tirai dengan Kerana Cinta Itu Dusta. Cerita ini terus masuk gear lima dengan isu pengkhianatan yang berlaku terang-terangan.
Ego lelaki, sahabat jadi duri dalam daging, dan kepercayaan yang hancur. Dalam drama ini, curang bukan “terlanjur”, tapi satu pilihan. Bila semuanya terbongkar, memang tak ada siapa yang menang. Penonton pun boleh rasa sakitnya sekali.

Masuk pula slot Akasia, giliran Khianat Yang Terpilih pula buat hati tak senang duduk. Kisah bekas kekasih yang bertemu semula nampak klasik, tapi twist dia bukan biasa-biasa.
Perkahwinan yang makin hambar, rindu lama datang balik, kemudian muncul pengakuan kehamilan yang mengejutkan. Dari perceraian ke ujian DNA, sampai keguguran. Emosi memang rollercoaster. Kita sebagai penonton pun tertanya-tanya, ini takdir atau memang sengaja cari alasan?

Kalau rasa dua tadi dah cukup berat, slot Lestary bawa konflik yang lebih “gelap” menerusi Bila Cinta Menjadi Dosa.
Ini bukan sekadar kisah pasangan bercinta. Ini tentang seorang ayah yang sanggup mengkhianati keluarga sendiri. Bila bekas kekasih anak berkahwin dengan si ayah, luka lama terus jadi perang terbuka. Nafsu, kuasa dan dendam bercampur dalam satu rumah. Memang jenis drama yang buat kita marah, tapi tak boleh berhenti tengok.
Apa yang menarik, ketiga-tiga drama ini sebenarnya dekat dengan realiti masyarakat. Isu kepercayaan dalam rumah tangga, godaan cinta lama, dan konflik keluarga bukan benda asing. Ramadan selalunya bulan muhasabah, tapi drama-drama ini seolah-olah jadi cermin untuk kita nilai pilihan hidup dan batas hati.
Untuk yang dah siap set reminder, slot Samarinda ditayangkan Isnin hingga Jumaat jam 10.00 malam, Akasia pula Isnin hingga Jumaat jam 6.58 petang, manakala Lestary bersiaran Jumaat hingga Ahad jam 9.00 malam.
Ramadan ini nampaknya bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tapi juga menahan rasa geram depan TV. Persoalannya, anda kuat tak nak hadap tiga ujian hati ini setiap minggu?



Comments