20 Tahun BOH Cameronian Arts Awards: Legasi & Inspirasi Seni Malaysia
- Nurul Safiah
- May 5
- 2 min read

Majlis anugerah seni persembahan paling berprestij di Malaysia, BOH Cameronian Arts Awards (20BCAA), melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Stage 1 Theatre, Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), sempena ulang tahunnya yang ke-20.
Dengan tema "20 Years of Legacy: Igniting Inspiration for Tomorrow", acara ini menghimpunkan para karyawan seni tanah air bagi meraikan dua dekad pencapaian cemerlang dalam teater, tarian, muzik dan teater muzikal.
Antara pemenang utama malam itu termasuk produksi Randai “MacBeth” oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), ASWARA yang merangkul tujuh anugerah dalam kategori Teater, sekali gus diangkat sebagai pemenang Best of 2024.

Turut mencuri tumpuan ialah Geetha Shankaran-Lam, yang dinobatkan sebagai Best Featured / Lead Performer in Dance menerusi Samskara – Past Reflections, Present Expressions pada usia 56 tahun, satu pencapaian luar biasa yang memperlihatkan dedikasi dan keunggulan seninya.
Dalam kategori muzik, dua tokoh akademik turut diraikan iaitu Dr. Bernard Tan, Pengarah Muzikal Terbaik dan Dr. Poom Prommachart, Persembahan Solo – Instrumental Terbaik.
Sementara itu, Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa berjaya membawa pulang empat anugerah, menyerlahkan keunikan cerita dan kreativiti dalam persembahan muzikal.
Selain Randai “MacBeth”, dua lagi produksi turut menerima anugerah Best of 2024 iaitu Spice, Magic and Mystique oleh The Young KL Singers dan Teater Persiapan Seorang Aktor oleh Studio Sedar Ruang,
Kemuncak majlis adalah penganugerahan BOH Cameronian Lifetime Achievement Award kepada Profesor Dr. Tan Sooi Beng dari Universiti Sains Malaysia. Dikenali sebagai tokoh unggul dalam bidang etnomusikologi, beliau telah mencorakkan landskap seni dan pendidikan muzik di Malaysia selama beberapa dekad.

Caroline Russell, Pengerusi Eksekutif BOH Plantations, menyifatkan perjalanan dua dekad ini sebagai satu kehormatan besar.
"Kami berbangga menyaksikan detik-detik penuh Ummph dalam dunia seni Malaysia dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penggiat seni atas pencapaian cemerlang anda," ujarnya.

Low Ngai Yuen, Presiden Kakiseni pula menegaskan bahawa Cammies bukan sekadar platform penghargaan, tetapi ruang untuk menghubungkan, menemui dan menyemarakkan potensi seni persembahan Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Sebagai satu penghormatan kepada masa lalu dan inspirasi untuk masa depan, 20BCAA 2025 menjadi simbol kepada semangat, keberanian dan kreativiti yang membentuk landskap seni persembahan negara.
Dengan sokongan padu dari rakan-rakan strategik seperti JKKN, Yayasan Sime Darby, Taylor’s University, Sephora dan A Cut Above, anugerah ini terus menyemarakkan obor seni Malaysia!

Comments