FUGŌ Akhiri Babak Album 99 Dengan Visual Puitis 'Dengar Lagu Ini'
- Atiqah Halim

- Oct 30
- 2 min read
Updated: Nov 4
Bila muzik bertemu visual, hasilnya bukan sekadar tontonan, tapi pengalaman yang menggetarkan emosi. Begitulah yang cuba disampaikan oleh kumpulan muzik “nu-vintage” FUGŌ bersama pelakon dan guru lakonan, Han Zalini, menerusi muzik video terbaru mereka bertajuk “Dengar Lagu Ini.”
Acara malam gala tayangan eksklusif karya ini berlangsung di Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Hulu Kelang, anjuran bersama Ruang Layar sekaligus menandakan kolaborasi sulung antara dua nama dalam dunia kreatif tempatan yang sama-sama percaya pada kekuatan cerita dan emosi.
“Dengar Lagu Ini” asalnya merupakan salah satu trek daripada album sulung FUGŌ, “99” (2024), dan kini diangkat semula dalam bentuk visual yang segar serta penuh makna.

“Lagu ini adalah sebuah lagu yang penuh dengan pengharapan. Saya cuba sampaikan yang kesedihan kita alami itu mungkin tidak akan hilang sekelip mata tetapi kita kena memberi ruang pada diri sendiri untuk berhenti sejenak, mendengar, merasai dan percaya bahawa hari esok akan membawa sesuatu yang lebih baik,” kata Hakim Kamal, vokalis dan pencipta lagu FUGŌ, yang sememangnya terkenal dengan penulisan lirik penuh perasaan.
Namun, yang paling menarik tentang projek ini ialah kisah di sebalik kamera. Han Zalini, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelakon dan guru lakonan, akhirnya menjejak impian lapan tahunnya untuk menjadi muzik video.

Sementara itu, Kayrol Ami, pemain bass dan penulis lirik bersama, menjelaskan bahawa single ini menandakan penutup kepada babak album “99”. FUGŌ kini sedang bersedia untuk membuka lembaran baru dengan album seterusnya yang dijangka menemui peminat pada 2026.
“’Dengar Lagu Ini’ merupakan salah satu lagu yang telah dimuatkan didalam album sulung FUGŌ yang dilancarkan pada tahun 2024 lepas, “99”. Lepas ni, kami nak cuba sesuatu yang lebih matang dan berani,” ujar Kayrol.
Kolaborasi antara FUGŌ dan Ruang Layar ini bukan sekadar tentang satu muzik video, tapi tentang usaha memperkukuh ekosistem seni tempatan, di mana muzik dan sinematografi boleh saling memperkuat emosi dan cerita.
Muzik video rasmi “Dengar Lagu Ini” telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi FUGŌ pada Selasa, 28 Oktober 2025, jam 9 malam dan bagi mereka yang pernah jatuh, kehilangan, atau sedang mencari makna di sebalik sunyi, karya ini mungkin jadi sesuatu yang lebih daripada sekadar lagu.












Comments